Penggambaran Misteri Nusantara TV3
Gunung Pondok sebuah gunung batu kapur dalam kawasan Padang Rengas di Kuala Kangsar. Keadaan sedemikian rupa, pasti mengundang persoalan bagi kalangan pengguna Lebuhraya Utara Selatan dan jalan persekutuan Kuala Kangsar Taiping. Bagi penduduk tempatan, pelbagai kisah misteri dan donggeng mereka alami dan warisi dari generasi ke generasi sehingga kini. Krew Misteri Nusantara membuat segmen kisah misteri di sini.


Bentuk gajah yang dilihat ini sebenarnya kesan aktiviti kuari yang dijalankan oleh sebuah syarikat Korea. Pelik bukan? Kenapa separuh sahaja manakala sebahagian lagi tidak terusik. Penduduk maklum akan kisah sebenarnya apa yang misteri di sebalik kejadian ini. Kisah ini bermula seawal aktiviti kuari dijalankan, apabila pihak kuari gagal meletupkan batu di kawasan sebelah sini. Banyak kejadian aneh dan ngeri yang menimpa pekerja sewaktu masa dahulu. Apabila disiasat dan menemui orang-orang tua maka diceritakan bahawa kawasan ini di bawah jagaan jin Islam bersama 3 pertapa manakala kawasan yang boleh diletupkan itu adalah di bawah jagaan jin sebaliknya. Apa yang lebih mengejutkan lagi jikalau kawasan tersebut diratakan maka seluruh kawasan sekitar Padang Rengas akan ditenggelami air. Hal ini bakal terjadi disebabkan kewujudan perigi di dalam kawasan tersebut malah apabila perigi ini pecah, airnya yang bertekanan tinggi pada paras ketinggian ini pasti akan melimpah keluar. Ada yang mendakwa, ahli kajibumi dari Jabatan Geologi di Ipoh mengesahkan penemuan ini. Namun pendapat saya, tidak diketahui akan kebenaran cerita ini samada benar atau khabar angin.
![]() | ![]() |


Berkenaan pinggang mangkuk, pernah pada masa dahulu penduduk sekitar melakukan kaedah peminjaman pinggan mangkuk di sini. Mereka ini dikatakan meminjam dari golongan bunian bagi majlis kenduri kendara. Kisah penempatan bunian amat diketahui penduduk di sini apabila banyak kejadian mengaitkan orang luar dan orang tempatan dengan gunung ini. Beberapa peristiwa aneh masih segar dalam ingatan antaranya bas sungai siput, majlis kenduri tengah malam dan dialami sendiri oleh Allahyarham Tak Yeh yang pernah sesat di Hutan Gunung Pondok sewaktu usia belasan tahun lalu dicerita kepada keluarga, anak dan cucunya. Kisah sesat terjadi sewaktu Tak Yeh bersama 3 orang rakannya pergi ke hutan Gunung Pondok mencari hasil Hutan. Di dalam hutan mereka terjumpa pokok mempelam yang lebat buahnya. Mereka memakannya sebagai alas perut namun, berbeza dengan rakan yang lain Tak Yeh mengasingkan beberapa buah mempelam dengan niat di hati untuk dibawa pulang untuk diberikan kepada ibunya. Ditakdirkan sewaktu perjalanan pulang dengan menyusuri lurah hutan, Tak Yeh teringatkan golok kesayangannya tertinggal dipohon mempelam tadi. Beliau memaklumkan kepada rakannya lain iaitu bernama Busu supaya mereka bertiga meneruskan perjalanan untuk pulang ke kroh hulu sementara beliau berpatah balik bagi mengambil balik golok yang tertinggal itu. Setelah berjaya menemui semula golok berkenaan, beliau terus pulang.
Akan tetapi tidak semudah yang disangka apabila beliau menyedari telah sesat. Laluan mudah sewaktu nak pulang bersama tiga orang rakannya tadi tiba-tiba bertukar menjadi laluan berhutan tebal dan berduri. Puas menebas hutan belukar yang tebal itu dengan menuruni lurah hutan bukit dan setiap kalinya beliau akan menjumpai sebuah batu besar yang sama. Begitulah keadaan yang berterusan hingga keletihan dan berehat di batuan besar tersebut.
![]() | ![]() |


Di sinilah, sebuah bas omnibus sungai siput diletakkan dan pemandunya sedang tidur nyenyak. Keberadaannya menimbulkan rasa tanda tanya bagi penduduk yang lalu lalang yang kebetulan ketika pagi itu pasar isnin berlangsung. Hal ini membuatkan seorang penduduk berhampiran menggerakkan pemandu yang sedang tidur itu untuk bertanya apakah gerangan keberadaannya di sini. Alangkah terkejutnya pemandu itu sedar-sedar beliau berada di kaki gunung ini di Padang Rengas. Menurut ceritanya, beliau ditahan dan ditumpang oleh sekumpulan orang yang baik tingkah lakunya dan berserban meminta dihantar ke suatu kawasan. Yang pelik, beliau menerima permintaan tersebut sungguhpun beliau dalam perjalanan pulang setelah selesai duty pada malam itu. Bayangkan bas sungai siput berada di kaki gunung di Padang Rengas. Dengan tergesa-gesa, beliau memandu basnya pulang. Kisah ini pernah disiarkan dalam majalah Mastika.
Malah pernah berlaku diceritakan ( ambil keterangan Tok Din pasal orang bunian mengambil batu pedoman kapal laut di sini dari Pantai Remis )


Tidak kejauhan terlihat suatu majlis kenduri yang begitu meriah yang dihadiri kalangan berpakaian serba putih dan berserban lalu dihampiri tuan majlis kenduri dan dijemput penuh hormat ke majlis tersebut. Yang menimbulkan persoalan kenapa majlis ini diadakan pada lewat malam manakala jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Layanannya cukup mesra lebih dari yang diterima seperti selalu jika menghadiri sesuatu majlis kenduri kahwin. Masakannya seperti biasa. Setelah selesai, tuan punya majlis menghantar beliau kembali ke kenderaan lalu beredar. Di dalam kenderaan, beliau hairan bagaimana pula meter minyak menunjukkan masih banyak minyak di dalam tangki. Beliau kemudian meneruskan perjalanan membawa sekali perasaan penuh tanda tanya dan kehairanan. Namun, setelah difikir secara logik akal membuatkan beliau ingin mendapat kepastian sebenar. Justeru, petang keesokan harinya beliau pulang semula ke lenggong lalu singgah di kawasan tersebut namun tiada kesan kelihatan bahawa majlis kenduri kahwin baru dilangsungkan. Membingungkan, lalu beliau bertanyakan orang yang tinggal berhampiran. Jawapan yang diterima mengejutkan bahawa tiada langsung majlis perkahwinan dijalankan oleh orang kampung di kawasan tersebut malah kenduri apa yang dilangsungkan dengan ramai orang pada jam 2.30 pagi.

Di sini juga, terdapat kejadian penduduk setempat mengalami kejadian pelik. Seorang lelaki berusia lewat 50’an dari arah pendalaman ditahan oleh gadis cantik belasan tahun berambut panjang ingin menumpang untuk ke pekan. Dalam perjalanan gadis ini hanya membisu lalu tidak semena-mena ghaib di kawasan berhampiran gate keretapi Padang Rengas. Pernah dikhabarkan bahawa ada seorang pemuda di kawasan ini pulang sendirian dari ibukota dan tiba jam antara 1 – 2 pagi. Bermula dari sini lah, beliau mengikuti dengan rapat dan perlahan dari belakang akan rombongan 4 orang berpakaian serba kuning sedang mengusung keranda. Timbul dibenak fikiran, malam – malam begini ada juga orang mati yang ingin dikebumikan segera tanpa menunggu keesokkan siang harinya. Beliau dengan sabar tetap membawa kenderaannya mengikuti dari belakang rombongan membawa jenazah tersebut kerana menurut pesan orang-orang tua kita dilarang mendahului rombongan jenazah kerana dikatakan nanti pendek rezeki lagipun simpang ke rumah beliau tak sampai 300 meter. Apabila tiba di persimpangan ini, beliau barulah berasa lega setelah membelok menghala ke rumah ibunya dan rombongan membawa keranda meneruskan perjalanan mereka dengan lebih laju daripada sebelumnya. Setiba di rumah, beliau bertanyakan kepada ibunya akan kejadian yang berlaku. Setelah diterangkan oleh ibunya bahawa mana ada orang berpakaian serba kuning mengusung jenazah malah pada waktu lewat malam begini, pemuda ini jatuh pengsan dan demam beberapa hari.

Banyak kali kejadian pelik berlaku, ada penduduk mendakwa terlihat sebuah objek seperti keranda terbang ke arah gunung ini. Malah suatu masa dahulu penghuni asrama madrasah yahyawiyah yang dikenali sekolah arab pondok oleh penduduk tempatan sering diganggu khasnya buat penghuni asrama perempuan hinggakan kejadian hesteria pada masa dahulu kerap berlaku. Malah di bekas padang bola inilah seekor kambing gurun ditemui di perkarangan padang bola di Sekolah Menengah Tun Perak Padang Rengas. Ramai beranggapan kambing gurun ini berasal dari gunung pondok kerana sebelum itu ada kes kejadian kambing gurun jatuh dan mati ke bawah gunung ini. Malah habitat kambing gurun semakin berkurangan setelah kawasan ini dibangunkan bagi kerja kuari. Pelik bukan? Bagaimana kambing gurun yang berasal dari gunung ini boleh terperangkap dalam padang bola sekolah yang berpagar. Jika dilihat jarak yang harus ditempuhi malah terpaksa melalui petempatan penduduk pekan Padang Rengas apabila difikir secara rasional.
![]() | ![]() |
Selain itu, penduduk sekitar Padang Rengas Kuala Kangsar pernah dikejutkan tragedi batuan besar gunung tiba-tiba runtuh di kawasan bekas petempatan dan sawah padi ini suatu ketika dahulu. Beberapa belas orang terkorban khususnya para pesawah dalam tragedi nahas tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang terkandung kisah misteri kejadian ini. Kejadian ini berlaku ketika waktu tengahari jumaat dalam bulan puasa. Apa yang dikatakan runtuh sebenarnya tidak, batuan-batuan ini jatuh ke bawah seolah-olah dilontar dari lubang ini ke arah sawah dan petempatan tersebut. Ketika itu, sawah padi diusahakan oleh penduduk setempat di kawasan ini. Justeru, dianggap kejadian itu berlaku sebagai bala disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh penduduk. Semoga kisah yang dihimpunkan ini sekadar kisah misteri yang mewarnai kehidupan masyarakat di sekitar Padang Rengas. Slot Misteri Nusantara TV3 ini telah disiarkan pada Isnin 14-3-2005 Sekian.

Penghargaan Pihak Yang Terlibat di Bengkel Labu Sayong Paya Lintah
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan