Powered By Blogger

Rabu, 22 Mei 2013

Yatim Piatu

              Ketika berumur empat tahun, Muhammad sudah boleh bertutur dengan baik. Kata-katanya teratur dan berhikmah. Sifatnya boleh dipercayai. Walaupun masih kecil, baginda tahu menjaga hati orang yang mengasuhnya. Baginda pandai menjaga hati datuk serta bapa saudaranya.

            Dengan hormat Muhammad pergi mendapatkan ibunya, Aminah. Baginda menghadap ibunya sambil tersenyum seolah-olah tidak ada kocak di dada kecil itu. Ibunya tersenyum membayangkan kegembiraan.

          "Ibu..." seru Muhammad manja
          "Mengapa, Muhammad?" sahut Aminah
          "Marahkah kalau saya bertanya?"
         "Tanyalah apa sahaja, ibu tidak akan marah." sahut Aminah jujur.

         Sebenarnya Aminah tidak menyangka bahawa Muhammad hendak bertanya tentang bapanya.

         "Di mana bapa saya...ibu?" tanya Muhammad.

        Aminah memang tidak menyangka soalan itu akan ditanya oleh Muhammad. Beliau tersentak, darahnya berderau naik ke muka. Aminah menundukkan muka menahan perasaan hiba.

       "Di mana bapa saya...ibu?" tanya Muhammad lagi. 

      Aminah benar-benar tidak dapat menahan perasaannya. Beliau cuba menahan nafas. Hatinya bagai dihiris-hiris. Segera Aminah mengambil buah kurma lalu disuapkan ke mulut Muhammad. Ini kerana beliau tidak mahu Muhammad menyebut-nyebut lagi mengenai ayahnya. Lepas habis sebiji, sebiji lagi buah kurma disumbatkan ke mulut Muhammad. Apabila buah kurma itu habis, Muhammad terus bertanya lagi.

       "Di mana bapa saya...ibu?" ulangnya.

     Sekarang mulut Muhammad tidak boleh ditutup lagi. Baginda tetap bertanya bapanya. Aminah seolah-olah hilang akal di buatnya.

     "Di mana bapa saya...ibu?" ulang Muhammad lagi.

     "Sebenarnya," Aminah berterus terang, "Bapa kamu telah meninggal dunia ketika kamu masih dalam kandungan lagi. Dia meninggal dalam perjalanan pulang dari Syam. Bapa kamu seorang peniaga. Dia selalu merantau ke sana dan ke mari membawa barang-barang dagangan. Malangnya, apabila tiba di Madinah, dia telah jatuh sakit lalu meninggal dunia di sana."

     Muhammad terdiam seolah-olah bertakafur. Kelopak mata Aminah bergenang air jernih apabila mengingatkan peristiwa lama bersama suaminya. Muhammad faham perasaan ibunya yang kesedihan. Muhammad juga tahu bahawa itulah sebabnya ibunya tidak mahu bercerita selama ini. Sekarang barulah Muhammad faham bahawa bapanya sudah tidak ada lagi. Muhammad tahu bahawa dirinya anak yatim, anak yang tidak berbapa lagi.

      "Muhammad...kau tidak mempunya bapa. Sungguhpun ada orang yang bertanggungjawab seperti datuk dqan bapa saudaramu itu, tapi hati-hatilah dalam hidup ini. Perangai biar baik, berbudi bahasa, jangan nakal-nakal, nanti orang tidak suka. Jangan hasad dengki, nanti orang benci." kata Aminah memberi nasihat. "Kematian bapamu sudah sampai masanya. Semua makhluk Tuhan akan mati apabila sudah sampai masanya." kata Aminah lagi memujuk.

      Rupa-rupanya dalam termenung itu, Muhammad mempunyai rancangan hendak pergi ke kubur bapanya. Tetapi buat sementara ini, Baginda tidak memberitahu ibunyatentang rancangan itu. Dia ingin melihat kubur bapanya suatu hari nanti.

     Setelah berumur enam tahun, Muhammad berkata lagi kepada ibunya, "Muhammad mahu lihat kubur bapa."

     Aminah terdiam mendengar permintaan Muhammad itu. Walaubagaimanapun, Aminah mahu menghampakn permintaan Muhammad.

    "Baiklah," kata Aminah kepada Muhammad. "Tapi, mesti minta izin daripada datukmu."

     Abdul Mutallib tidak menegah hajatnya itu. Setelah segala persiapan dibuat, mereka pun berangkat ke Madinah. Dalam perjalanan yang sukar dan jauh itu, pelbagai cabaran diterima. Tetapi, Muhammad tetap tabah menempuhnya. Walaupun letih, baginda tabah menghada[i semua itu.

     Akhirnya, sampai juga mereka di Madinah. Hajat Muhammad sudah kesampaian. Mereka pergi ke tanah perkuburan. Sungguhpun masih kanak-kanak, Muhammad dapat menunjukkan kesabarannya. Baginda sedih tetapi baginda dapat menahan kesedihannya itu. Baginda memujuk ibunya  yang menangis. Baginda minta agar ibunya bersabar. Sedikit sebanyak, dapat juga Muhammad memberi petunjuk kepada ibunya.

     Setelah beberapa lama di kubur itu, Muhammad mengajak ibunya pulang. Dalam perjalanan, baginda cuba menenangkan perasaan ibunya. Namun, nasib tidak menyebelahi Muhammad. Ibunya jatuh sakit dalam perjalanan.

     Muhammad tidak dapat meneruskan perjalanan pulang kerana ibunya sakit. Tidak mungkin orang sakit hendak dipaksa pulang. Muhammad terus bersabar. Kalau ibu sembuh bolehlah pulang, fikirnya. Muhammad terus berusaha untuk menyembuhkan penyakit ibunya itu, tetapi penyakit Aminah tidak sembuh juga. Semakin hari semakin tenat. Muhammad tidak berputus asa.
Tetapi semakin hari keadaan kesihatan ibunya semakin berat juga.

    Akhirnya, ibu Muhammad meninggal dunia. ini satu kejadian yang tidak diduga oleh Muhammad. Tetapi, Muhammad sabar walaupun tanggungannya berat. Baginda menangis dan bersedih dalam bersabar. Baginda perlu menguruskan pengebumian ibunya. 

    Kematian Aminah itu menjadikan Muhammad yatim piatu. Tidak punya ibu dan ayah lagi. Muhammad benar-benar tinggal sebatang kara. Namun begitu, baginda berjaya pulang ke Makkah. Keluarga Muhammad sangat terkejut apabila mendapat tahu berita kematian Aminah. Namun, Abdul Mutallib tidak menunjukkan kesedihan walaupun hatinya pedih dan hancur. Baginda memujuk Muhammad supaya jangan bersusah hati.

    "Jangan ke mana-mana. Tinggal sahaja di rumah datuk," pujuk Abdul Mutallib sambil mengusap-usap rambut Muhammad. Kasih sayangnya kepada Muhammad memang tidak dapat diragukan lagi.

    Muhammad mendengar pujukan datuknya itu. Tetapi sekarang Muhammad sedar akan dirinya yang bergantung kasih kepada seorang datuk yang sudah tua.

Sabtu, 4 Mei 2013

Wajah Bercahaya

Sungguhpun begitu, nasib Muhammad sungguh malang. Ketika Baginda dilahirkan, bapanya sudah kembali ke rahmatullah. Bapanya meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan ibunya. Kira-kira dua bulan sebelum Muhammad dilahirkan, bapanya telah menghembuskan  nafas yang terakhir. Tidak sempat beliau melihat wajah anak yang ditunggu-tunggunya. Sebagai seorang isteri, Aminah mengalami penderitaan yang hebat.

     Tetapi, Aminah tetap bersabar. Orang yang dikasihi pulang kepada Allah SWT. Abdullah jatuh sakit dalam perjalanan pulang dari Syam. Abdullah merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau sering merantau kerana urusan perniagaannya. Kali terakhir beliau mengembara untuk berniaga adalah ke Syam. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Madinah. Setibanya di sana, Abdullah jatuh sakit.

    Dari hari ke hari, penyakitnya semakin tenat. Puas berubat, tetapi tidak sembuh juga. Akhirnya, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aminah seolah-olah hilang akal. Hatinya bertambah sedih apabila mengingatkan bayi yang akan lahir itu tidak mempunyai ayah.

     Aminah tidak dapat mengawal perasaannya, beliau menangis semahu-mahunya. Tetapi, orang ramai menyabarkan Aminah. Perasaan dan hati Aminah dijaga. "Semua itu kehendak Tuhan. Semuanya kekuasaan Tuhan." pujuk orang ramai.

    Abdul Mutallib dan Abu Talib menjaga hati Aminah sebaik-baiknya. Mereka tahu bagaimana perasaan seorang wanita yang kehilangan suami buat selama-lamanya. Memang berat penaggungan itu. Seberat bumi dan langit.

     Akhirnya, perasaan Aminah yang berkocak itu damai sedikit demi sedikit. Perutnya semakin hari semakin besar. Hari yang ditunggu-tunggu semakin dekat. Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan itu tiba jua.

    Pada malam Aminah hendak melahirkan Muhammad, tidak ada apa-apa tanda pada dirinya. Aminah menyangka anaknya lambat lagi akan dilahirkan. Tetapi tiba-tiba sahaja pada subuh hari itu, Aminah melahirkan Muhammad.

    Kelahirannya sungguh mengejutkan keluarga Aminah. Kampung Al-Irash, iaitu tempat kelahiran Muhammad menjadi riuh-rendah dengan berita kelahiran baginda. Sejak dilahirkan, Muhammad sudah dapat menarik hati orang ramai. Seperti anak-anak yang lain, Muhammad tetap diberi susu oleh ibunya sendiri. Ketika itu, ramai wanita yang rela menyusukan Muhammad tetapi Aminah tidak mengizinkan pada peringkat awal.

   Abdul Mutallib, datuk Muhammad kelihatan sangat gembira kerana mendapat cucu. Kematian Abdullah, bapa Muhammad di Madinah dahulu dirasakan benar-benar kehilangan. Namun, apabila Muhammad lahir, beliau merasakan seolah-olah itulah ganti Abdullah, dan Muhammad sebagai bayi yang amat disayanginya.

    "Aku namakan dia Muhammad." kata Abdul Mutallib kepada Aminah dan orang ramai yang berada di situ. Abdul Mutallib bertanya kepada Aminah, "Bersetujukah kau Aminah?" Aminah hanya tersenyum. Dia sendiri berasa senang dengan nama itu walaupun timbul sedikit kehairanan.

    "Muhammad ertinya yang terpuji, aku harap dia akan menjadi manusia yang terpuji nanti." kata Abdul Mutallib dengan bangga.

    Sebenarnya, memang belum ada nama Muhammad di kalangan bangsa Arab selama ini, baik sudah besar ataupun yang masih muda. Nama Muhammad seolah-olah memberi ilham baharu kepada Abdul Mutallib. Selepas beberapa hari, badannya kelihatan begitu segar. Selepas menyusu dengan ibunya, baginda menyusu pula dengan seorang perempuan yang bernama Halimah. Halimah perempuan yang mengambil upah menyusukan bayi. Halimah juga mempunyai anak kecil tetapi beliau tidak keberatan menyusukan Muhammad.

    Kelahiran Muhammad telah memberi cahaya kepada seluruh penduduk kota Makkah. Keadaan kota Makkah tiba-tiba bertukar wajah. Tanaman yang kurang subur, tiba-tiba sahaja menjadi segar dan subur. Ternakan juga berkembang biak. Hal ini merupakan satu rahmat kepada penduduk kota Makkah. Walaupun Muhammad dijaga dengan baik sehingga besar, baginda tidak hidup dalam kemewahan. Baginda hidup sebagaimana kehidupan orang yang mengasuhnya. Orang yang mengasuhnya bukanlah orang kaya.

     Muhammad telah mengenali erti kesusahan sejak kecil lagi. Baginda sabar menghadapi pelbagai penderitaan. Muhammad tidak pernah merasai kasih sayang bapanya yang sebenar. Malah, baginda tidak tahu apa ertinya bapa dalam sesebuah keluarga. Apabila umurnya semakin bertambah, barulah baginda tahu erti bapa. Muhammad tidak pernah bertanya kepada sesiapa pun ke mana bapanya pergi selama ini. Sama ada bertanya kepada ibu, datuk mahupun bapa saudaranya. Hatinya tidak terlintas mahu bertanya. Aminah dan Abdul Mutallib tidak mahu menyebut-nyebut nama bapa Muhammad, tambahan pula di hadapan baginda sendiri. Mereka bimbang hati Muhammad akan berasa sayu. Mereka kasihan kepada Muhammad.

Tidak Menangis......

          Kelahiran Nabi Muhammad SAW sama seperti bayi-bayi lain. Ibu baginda bernama Aminah binti Wahab. Baginda dilahirkan di Makkah pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi.

        Muhammad berasal daripada keturunan Quraisy. Bapanya bernama Abdullah bin Abdul Mutallib. Datuk dan neneknya merupakan ketua kaum Arab bertugas menjaga Kaabah yang pernah diancam oleh tentera-tentera Habsyah.

        Datuk Muhammad bernama Abdul Mutallib bin Hasyim dan bapa saudaranya bernama Abu Talib. Keturunan keluarganya bergiat dalam bidang perniagaan dan penternakan terutamanya unta.

        Kelahiran Muhammad sudah diketahui oleh Nabi Isa AS sejak Muhammad belum dikandung oleh ibunya lagi. Nabi Isa AS mendapat wahyu daripada Allah SWT bahawa seoranh Rasul akan lahir ke dunia dan dialah Nabi yang terakhir.

       Walaupun kelahiran Muhammad tiada bezanya dengan bayi-bayi yang lain, tetapi keadaan sekeliling sangat luar biasa. Aminah tidak berasa sakit sewaktu melahirkan baginda. Muhammad lahir dengan selamat, disaksikan oleh malaikat.

       Kebiasaannya, bayi yang baru lahir sudah pasti akan menangis, tetapi Muhammad tidak begitu. Baginda diam sahaja. Mak Bidan menepuk-nepuk tubuhnya tetapi Muhammad tetap diam. Keadaannya seperti orang sedang berfikir. Matanya kelihatan bersinar-sinar seperti hendak melihat sesuatu.

      "Luar biasa anakmu ini, dia tidak menangis, tetapi matanya liar seolah-olah merenung sesuatu di atas." ulang Mak Bidan, sambil membelek-belek tubuh bayi itu. "Apa yang luar biasa?" tanya Aminah. "Biasanya, bayi lahir terlentang, tapi dia terlentan, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-olah sedang mengira sesuatu, matanya juga merenung ke langit seolah-olah ada benda yang dipandangnya. Dia seperti mengerti sesuatu, walaupun dia baru dilahirkan."

      Kisah keganjilan Muhammad ini diceritakan oleh Mak Bidan kepada jiran-jirannya. Mereka turut hairan mendengarkan cerita itu. Sejak Muhammad dilahirkan, keadaan di rumah itu tiba-tiba sahaja berubah. Rumah yang tidak bermaya selama ini, tiba-tibaberseri-seri dipandang serta menjadi tumpuan orang ramai.

        Pada waktu malam, rumah itu kelihatan terang benderang seperti bulan terang, walaupun adakalanya bulan gelap. Wanita-wanita amat ke rumah Aminah. Mereka datang berduyun-duyun untuk melihat Aminah dan anaknya yang baru lahir. Mereka suka melihat bayi itu. Seolah-olah ada satu daya tarikan pada tubuhnya.

      Ada di antara datang berkali-kali, semata-mata mahu melihat Muhammad. Mereka sayang kepada Muhammad. "Alangkah gembiranya kalau aku mendapat anak seperti ini." kata salah seorang wanita yang datang itu.

     Kisah keistimewaan Muhammad telah tersebar merata-rata tempat. Orang datang semakin ramai. Malah yang tidak kenal dengan Aminah pun turut datang melihat Muhammad.

      Keadaan cuaca bertambah berseri-seri. Seolah-olah tersenyum menyambut kelahiran Muhammad. Sekitar kampung tempat kelahirannya begitu meriah. Seolah-olah dia memberi semangat dan cahaya baharu kepada penduduk-penduduk di situ.

     "Budak ini bertuah, boleh jadi dia akan jadi pemimpin besar pada masa akan datang. Semua orang suka kepadanya." kata seorang tua sambil menepuk-nepuk tubuhnya.