Powered By Blogger

Sabtu, 4 Mei 2013

Wajah Bercahaya

Sungguhpun begitu, nasib Muhammad sungguh malang. Ketika Baginda dilahirkan, bapanya sudah kembali ke rahmatullah. Bapanya meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan ibunya. Kira-kira dua bulan sebelum Muhammad dilahirkan, bapanya telah menghembuskan  nafas yang terakhir. Tidak sempat beliau melihat wajah anak yang ditunggu-tunggunya. Sebagai seorang isteri, Aminah mengalami penderitaan yang hebat.

     Tetapi, Aminah tetap bersabar. Orang yang dikasihi pulang kepada Allah SWT. Abdullah jatuh sakit dalam perjalanan pulang dari Syam. Abdullah merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau sering merantau kerana urusan perniagaannya. Kali terakhir beliau mengembara untuk berniaga adalah ke Syam. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Madinah. Setibanya di sana, Abdullah jatuh sakit.

    Dari hari ke hari, penyakitnya semakin tenat. Puas berubat, tetapi tidak sembuh juga. Akhirnya, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aminah seolah-olah hilang akal. Hatinya bertambah sedih apabila mengingatkan bayi yang akan lahir itu tidak mempunyai ayah.

     Aminah tidak dapat mengawal perasaannya, beliau menangis semahu-mahunya. Tetapi, orang ramai menyabarkan Aminah. Perasaan dan hati Aminah dijaga. "Semua itu kehendak Tuhan. Semuanya kekuasaan Tuhan." pujuk orang ramai.

    Abdul Mutallib dan Abu Talib menjaga hati Aminah sebaik-baiknya. Mereka tahu bagaimana perasaan seorang wanita yang kehilangan suami buat selama-lamanya. Memang berat penaggungan itu. Seberat bumi dan langit.

     Akhirnya, perasaan Aminah yang berkocak itu damai sedikit demi sedikit. Perutnya semakin hari semakin besar. Hari yang ditunggu-tunggu semakin dekat. Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan itu tiba jua.

    Pada malam Aminah hendak melahirkan Muhammad, tidak ada apa-apa tanda pada dirinya. Aminah menyangka anaknya lambat lagi akan dilahirkan. Tetapi tiba-tiba sahaja pada subuh hari itu, Aminah melahirkan Muhammad.

    Kelahirannya sungguh mengejutkan keluarga Aminah. Kampung Al-Irash, iaitu tempat kelahiran Muhammad menjadi riuh-rendah dengan berita kelahiran baginda. Sejak dilahirkan, Muhammad sudah dapat menarik hati orang ramai. Seperti anak-anak yang lain, Muhammad tetap diberi susu oleh ibunya sendiri. Ketika itu, ramai wanita yang rela menyusukan Muhammad tetapi Aminah tidak mengizinkan pada peringkat awal.

   Abdul Mutallib, datuk Muhammad kelihatan sangat gembira kerana mendapat cucu. Kematian Abdullah, bapa Muhammad di Madinah dahulu dirasakan benar-benar kehilangan. Namun, apabila Muhammad lahir, beliau merasakan seolah-olah itulah ganti Abdullah, dan Muhammad sebagai bayi yang amat disayanginya.

    "Aku namakan dia Muhammad." kata Abdul Mutallib kepada Aminah dan orang ramai yang berada di situ. Abdul Mutallib bertanya kepada Aminah, "Bersetujukah kau Aminah?" Aminah hanya tersenyum. Dia sendiri berasa senang dengan nama itu walaupun timbul sedikit kehairanan.

    "Muhammad ertinya yang terpuji, aku harap dia akan menjadi manusia yang terpuji nanti." kata Abdul Mutallib dengan bangga.

    Sebenarnya, memang belum ada nama Muhammad di kalangan bangsa Arab selama ini, baik sudah besar ataupun yang masih muda. Nama Muhammad seolah-olah memberi ilham baharu kepada Abdul Mutallib. Selepas beberapa hari, badannya kelihatan begitu segar. Selepas menyusu dengan ibunya, baginda menyusu pula dengan seorang perempuan yang bernama Halimah. Halimah perempuan yang mengambil upah menyusukan bayi. Halimah juga mempunyai anak kecil tetapi beliau tidak keberatan menyusukan Muhammad.

    Kelahiran Muhammad telah memberi cahaya kepada seluruh penduduk kota Makkah. Keadaan kota Makkah tiba-tiba bertukar wajah. Tanaman yang kurang subur, tiba-tiba sahaja menjadi segar dan subur. Ternakan juga berkembang biak. Hal ini merupakan satu rahmat kepada penduduk kota Makkah. Walaupun Muhammad dijaga dengan baik sehingga besar, baginda tidak hidup dalam kemewahan. Baginda hidup sebagaimana kehidupan orang yang mengasuhnya. Orang yang mengasuhnya bukanlah orang kaya.

     Muhammad telah mengenali erti kesusahan sejak kecil lagi. Baginda sabar menghadapi pelbagai penderitaan. Muhammad tidak pernah merasai kasih sayang bapanya yang sebenar. Malah, baginda tidak tahu apa ertinya bapa dalam sesebuah keluarga. Apabila umurnya semakin bertambah, barulah baginda tahu erti bapa. Muhammad tidak pernah bertanya kepada sesiapa pun ke mana bapanya pergi selama ini. Sama ada bertanya kepada ibu, datuk mahupun bapa saudaranya. Hatinya tidak terlintas mahu bertanya. Aminah dan Abdul Mutallib tidak mahu menyebut-nyebut nama bapa Muhammad, tambahan pula di hadapan baginda sendiri. Mereka bimbang hati Muhammad akan berasa sayu. Mereka kasihan kepada Muhammad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan