Powered By Blogger

Isnin, 29 April 2013

"Kenapa engkau menolak pinangan Yahudi?"

               Terdapat seorang lelaki di Kufah yang sangat membenci Sayyidina Uthman. Dia bukan hanya mencela Sayyidina Uthman, malah membuat tuduhan dusta yang sangat kotor. Antara tuduhannya: "Uthman bin Affan sebenarnya bukan Muslim, tetapi Yahudi!"
               
             Para ulama Kufah berkali-kali menasihati dan memujuknya, namun orang jahil ini tetap enggan menarik kembali tuduhan keji tersebut.
             
            Imam Abu Hanifah yang turut berada di Kufah berhasrat untuk menyedarkan lelaki itu.

           Beliau pergi ke rumahnya. Menariknya, bukan untuk berceramah tetapi untuk meminang puterinya.
           
        Abu Hanifah berkata:"Hasrat kedatangan saya ini adalah untuk meminang puteri tuan. Saya berminat untuk menikahkannya dengan seorang pemuda yang berketurunan mulia. Beliau seorang yang kaya-raya, menghafal al-Quran, dermawan, selalu menunaikan solat malam, dan sering menagis kerana takutkan Allah."
         
        Sudah tentu lelaki itu sangat gembira menyambut pinangan orang tersebut. Sifat-sifat yang disebutkan itu merupakan kualiti menantu terbaik yang menjadi impian setiap bakal mentua.
        
       Dengan penuh semangat lelaki Syiah itu berkata: "Sungguh hebat orang ini. Aku sedia menerima pinangannya."
       
      Abu Hanifah berkata: "Namun, dia mempunyai satu kekurangan."
      
     "Apakah kekurangannya itu?"
      
     "Dia seorang Yahudi!" jawab Abu Hanifah tenang.
     
     "Apa? Engkau ingin menikahkan anakku dengan orang Yahudi?! Aku tidak akan menerima pinangannya!"

       Abu Hanifah berkata: "Kenapa engkau menolak pinangan orang Yahudi? Bukankah Nabi sendiri menikahkan puterinya dengan seorang Yahudi?"
      
      Jelaslah bahawa Abu Hanifah sebenarnya menyindir lelaki itu yang menuduh Uthman bin Affan seorang Yahudi. Padahal beliau menantu Rasullulah.          
       
     Lelaki itu mula sedar akan kesalahannya. "Astaghfirullah. Aku bertaubat kepada Allah!" katanya.
      
    Kisah ini di ambil daripada kitab Abu Hanifah, Hayatuhu wa Ara'uhu karya Imam Abu Zahrah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan