Ketika berumur empat tahun, Muhammad sudah boleh bertutur dengan baik. Kata-katanya teratur dan berhikmah. Sifatnya boleh dipercayai. Walaupun masih kecil, baginda tahu menjaga hati orang yang mengasuhnya. Baginda pandai menjaga hati datuk serta bapa saudaranya.
Dengan hormat Muhammad pergi mendapatkan ibunya, Aminah. Baginda menghadap ibunya sambil tersenyum seolah-olah tidak ada kocak di dada kecil itu. Ibunya tersenyum membayangkan kegembiraan.
"Ibu..." seru Muhammad manja
"Mengapa, Muhammad?" sahut Aminah
"Marahkah kalau saya bertanya?"
"Tanyalah apa sahaja, ibu tidak akan marah." sahut Aminah jujur.
Sebenarnya Aminah tidak menyangka bahawa Muhammad hendak bertanya tentang bapanya.
"Di mana bapa saya...ibu?" tanya Muhammad.
Aminah memang tidak menyangka soalan itu akan ditanya oleh Muhammad. Beliau tersentak, darahnya berderau naik ke muka. Aminah menundukkan muka menahan perasaan hiba.
"Di mana bapa saya...ibu?" tanya Muhammad lagi.
Aminah benar-benar tidak dapat menahan perasaannya. Beliau cuba menahan nafas. Hatinya bagai dihiris-hiris. Segera Aminah mengambil buah kurma lalu disuapkan ke mulut Muhammad. Ini kerana beliau tidak mahu Muhammad menyebut-nyebut lagi mengenai ayahnya. Lepas habis sebiji, sebiji lagi buah kurma disumbatkan ke mulut Muhammad. Apabila buah kurma itu habis, Muhammad terus bertanya lagi.
"Di mana bapa saya...ibu?" ulangnya.
Sekarang mulut Muhammad tidak boleh ditutup lagi. Baginda tetap bertanya bapanya. Aminah seolah-olah hilang akal di buatnya.
"Di mana bapa saya...ibu?" ulang Muhammad lagi.
"Sebenarnya," Aminah berterus terang, "Bapa kamu telah meninggal dunia ketika kamu masih dalam kandungan lagi. Dia meninggal dalam perjalanan pulang dari Syam. Bapa kamu seorang peniaga. Dia selalu merantau ke sana dan ke mari membawa barang-barang dagangan. Malangnya, apabila tiba di Madinah, dia telah jatuh sakit lalu meninggal dunia di sana."
Muhammad terdiam seolah-olah bertakafur. Kelopak mata Aminah bergenang air jernih apabila mengingatkan peristiwa lama bersama suaminya. Muhammad faham perasaan ibunya yang kesedihan. Muhammad juga tahu bahawa itulah sebabnya ibunya tidak mahu bercerita selama ini. Sekarang barulah Muhammad faham bahawa bapanya sudah tidak ada lagi. Muhammad tahu bahawa dirinya anak yatim, anak yang tidak berbapa lagi.
"Muhammad...kau tidak mempunya bapa. Sungguhpun ada orang yang bertanggungjawab seperti datuk dqan bapa saudaramu itu, tapi hati-hatilah dalam hidup ini. Perangai biar baik, berbudi bahasa, jangan nakal-nakal, nanti orang tidak suka. Jangan hasad dengki, nanti orang benci." kata Aminah memberi nasihat. "Kematian bapamu sudah sampai masanya. Semua makhluk Tuhan akan mati apabila sudah sampai masanya." kata Aminah lagi memujuk.
Rupa-rupanya dalam termenung itu, Muhammad mempunyai rancangan hendak pergi ke kubur bapanya. Tetapi buat sementara ini, Baginda tidak memberitahu ibunyatentang rancangan itu. Dia ingin melihat kubur bapanya suatu hari nanti.
Setelah berumur enam tahun, Muhammad berkata lagi kepada ibunya, "Muhammad mahu lihat kubur bapa."
Aminah terdiam mendengar permintaan Muhammad itu. Walaubagaimanapun, Aminah mahu menghampakn permintaan Muhammad.
"Baiklah," kata Aminah kepada Muhammad. "Tapi, mesti minta izin daripada datukmu."
Abdul Mutallib tidak menegah hajatnya itu. Setelah segala persiapan dibuat, mereka pun berangkat ke Madinah. Dalam perjalanan yang sukar dan jauh itu, pelbagai cabaran diterima. Tetapi, Muhammad tetap tabah menempuhnya. Walaupun letih, baginda tabah menghada[i semua itu.
Akhirnya, sampai juga mereka di Madinah. Hajat Muhammad sudah kesampaian. Mereka pergi ke tanah perkuburan. Sungguhpun masih kanak-kanak, Muhammad dapat menunjukkan kesabarannya. Baginda sedih tetapi baginda dapat menahan kesedihannya itu. Baginda memujuk ibunya yang menangis. Baginda minta agar ibunya bersabar. Sedikit sebanyak, dapat juga Muhammad memberi petunjuk kepada ibunya.
Setelah beberapa lama di kubur itu, Muhammad mengajak ibunya pulang. Dalam perjalanan, baginda cuba menenangkan perasaan ibunya. Namun, nasib tidak menyebelahi Muhammad. Ibunya jatuh sakit dalam perjalanan.
Muhammad tidak dapat meneruskan perjalanan pulang kerana ibunya sakit. Tidak mungkin orang sakit hendak dipaksa pulang. Muhammad terus bersabar. Kalau ibu sembuh bolehlah pulang, fikirnya. Muhammad terus berusaha untuk menyembuhkan penyakit ibunya itu, tetapi penyakit Aminah tidak sembuh juga. Semakin hari semakin tenat. Muhammad tidak berputus asa.
Tetapi semakin hari keadaan kesihatan ibunya semakin berat juga.
Akhirnya, ibu Muhammad meninggal dunia. ini satu kejadian yang tidak diduga oleh Muhammad. Tetapi, Muhammad sabar walaupun tanggungannya berat. Baginda menangis dan bersedih dalam bersabar. Baginda perlu menguruskan pengebumian ibunya.
Kematian Aminah itu menjadikan Muhammad yatim piatu. Tidak punya ibu dan ayah lagi. Muhammad benar-benar tinggal sebatang kara. Namun begitu, baginda berjaya pulang ke Makkah. Keluarga Muhammad sangat terkejut apabila mendapat tahu berita kematian Aminah. Namun, Abdul Mutallib tidak menunjukkan kesedihan walaupun hatinya pedih dan hancur. Baginda memujuk Muhammad supaya jangan bersusah hati.
"Jangan ke mana-mana. Tinggal sahaja di rumah datuk," pujuk Abdul Mutallib sambil mengusap-usap rambut Muhammad. Kasih sayangnya kepada Muhammad memang tidak dapat diragukan lagi.
Muhammad mendengar pujukan datuknya itu. Tetapi sekarang Muhammad sedar akan dirinya yang bergantung kasih kepada seorang datuk yang sudah tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan